Dalam nada tegas, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri mengingatkan mereka supaya tidak leka dalam perjuangan sehingga parti itu dianggap oleh rakyat jelata hanya memperjuangkan kelompok kecil kumpulan yang berkepentingan sahaja.
Katanya, demi menjadikan UMNO dekat di hati rakyat, para pemimpinnya mesti mengatur program untuk rakyat pada setiap masa dan bukannya secara bermusim menjelang pilihan raya sahaja.
"Sekarang inilah kita mesti tunjuk sebagai pemimpin, kita adalah pemimpin yang sentiasa berjuang untuk kepentingan rakyat pada sepanjang masa.
"Inilah UMNO yang mesti dijadikan jati diri kepada kita semua. Kerana sayang kepada UMNO kita patut dan sanggup berjuang berhabis-habisan, kerana sayang kepada UMNO kita mesti menjadi pejuang yang jati, dekat di hati rakyat dan sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.
Beliau membuat pesanan berkenaan sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-64 UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Naib-Naib Presiden, ketua-ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri serta ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT).
Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, walaupun pola sokongan rakyat khususnya orang Melayu semakin positif terhadap UMNO, semua pihak perlu sedar dan insaf kerana ia belum sampai ke tahap mereka boleh berasa bebas daripada sebarang ancaman politik.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO supaya menghayati semangat gigih para pejuang UMNO terdahulu.
"Sempena hari ulang tahun ke-64 ini, saya ingin mengajak saudara sekalian dan saya juga mengajak diri saya supaya kembali kepada semangat jitu dan gigih para pejuang UMNO terdahulu.
"Ini supaya di dalam hati sanubari kita akan menyala semangat dan api perjuangan yang akan mengangkat kedudukan kita ke tahap yang lebih kukuh dan mantap," katanya.
Sementara itu, beliau turut membuat peringatan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik yang telah menjadi pemerintah dan memenangi sebanyak 12 pilihan raya umum pasca kemerdekaan kini berdepan dengan pelbagai cabaran.
Justeru katanya, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada nasib parti-parti pemerintah di luar negara yang hampir sama usianya dengan UMNO yang kini telah menjadi parti pembangkang.
Sebagai contoh katanya, parti LDP di Jepun telah kehilangan kuasa dan ia disebabkan oleh tiga punca yang mesti diinsafi iaitu: